TUGASAN I
TAJUK : FALSAFAH, AKTA DAN POLISI SERTA IMPLIKASINYA DALAM PENDIDIKAN
PENGENALAN
Negara-negara di dunia hari ini bukan hanya bersaing untuk sumber semulajadi sahaja, malah mereka juga turut berbalah untuk mengawal sumber maklumat. Sebagai negara yang pertumbuhannya dibentuk dan dipandu secara strategik oleh Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Malaysia turut menyenaraikan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di tangga teratas sebagai eleman terpenting bagi memacu pembangunan negara. Perubahan ini disemarakkan oleh ledakan maklumat, revolusi teknologi multimedia dan revolusi komunikasi.
Adalah dilaporkan bahawa penghasilan maklumat dijangka akan berlipat ganda setiap dua tahun menjelang abad ke 21. Tambahan pula maklumat ini begitu mudah diperolehi dengan kadar yang begitu cepat melalui teknologi telekomunikasi dan komputer yang canggih. Pelancaran projek Koridor Rya Multimedia (MSC) oleh kerajaan Malaysia menandakan satu langkah positif sempena ketibaan era maklumat ini. Era maklumat yang dijana dengan penubuhan MSC ini menuntut persediaan rapi dan penguatkuasaan sistem perundangan yang berkaitan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan kemungkinan penyelewengan tatasusila siber. Walaupun teknologi menjadikan kehidupan manusia bertambah selesa dan lebih baik, namun terdapat manusia yang bersikap negatif dan tidak jujur dalam pendekatan mereka. Dengan kepakaran dan kemahiran ada yang sanggup memanipulasi sistem teknologi itu sendiri. Oleh itu akta dan,polisi serta dasar negara perlu dibentuk sebagai landasan penguatkuasaan undang -undang bagi menangani salah laku tersebut.
UNDANG-UNDANG SIBER DI MALAYSIA
Di sebalik kemegahan dan kemajuan kamahiran Teknologi Maklumat yang diakui sebagai pemangkin kemajuan yang hebat dan berpotensi menjadi penggunanya sebagai pemeroleh paling besar dalam dalam bidang masing-masing, malangnya ada pengguna yang kurang jujur pendekatannya. Mereka menyalagunakan kepakaran dan kemahiran untuk diri sendiri. Bagi mengekang golongan pengguna sebegini , satu set undang-undang baru yang lebih efektif perlu dikuatkuasakan . Malaysia menjadi antara negara pertama di dunia yang menguatkuasakan undang-undang siber.
Undang-undang siber di negara ini terbahagi kepada 6 juzuk utama iaitu :
i) Akta Tandatangan Digital 1997
ii) Akta Hakcipta (pindaan) 1997
iii) Akta Jenayah Komputer 1997
iv) Akta Teleperubatan 1997
v) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
vi) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia1998
Huraian akta-akta berkenaan
i - Akta Tandatangan Digital
Akta ini dikuatkuasakan pada 1 Oktober 1998. Berdasarkan akta ini, orang awam dan pihak peniaga boleh menggunakan tandatangan digital untuk menggantikan tandatangan manual dalam segala urusniaga, misalnya menandatangani jual beli rumah. Tandatangan digital akan menyelaraskan sistem keselamatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat.. Pada masa sekarang setiap pembekal maklumat di Internet mempunyai sistem keselamatan masing-masing. Setelah akta ini dikuatkuasakan , kesahan akses maklumat akan mendapat perlindungan tambahan ini, ini disebabkan tandatangan digital yang diselaraskan dapat memmastikan identiti sah menuntut hak akses kepada maklumat berkenaan. Jika berlaku kecurian data, identiti penjenayah akan ditentukan melalui tandatangan digitalnya.
ii - Akta Hakcipta (pindaan) 1997
Akta ini merupakan pindaan terhadap Akta Hakcipta 1987, dan dikuatkuasakan pada 1 April 1999.Antara lain akta ini memastikan hakcipta intelektual produk multimedia dilindungi dengan berkesan. Ia juga memastikan royalti atau bayaran pendaftaran hakcipta di Internet. Selain itu akta ini dijangka menentukan samaada bahan perantaraan seperti program komputer,teks, gambarajah, foto, imej dan lain-lain dilindungi oleh akta hakcipta. Akta ini mendefinisikan kes-kes mencetak rompak sebagai melanggar undang-undang hakcipta.
iii - Akta Jenayah Komputer 1997
Akta ini dikuatkuasakan pada 1 Jun 2000, bertujuan menyediakan hukuman berkaitan penyalahgunaan komputer.Undang-undang ini memberi satu rangka kepada pihak penguatkuasa untuk mendefinisikan aktiviti membaca, memintas dan menggunakan komputer serta maklumat komputer secara haram, piawaian untuk pembekal khidmat dan menggariskan hukuman kepada mereka yang salah di sisi undang-undang. Jenayah yang dimaksudkan termasuklah menceroboh secara haram,mencuri serta membinasakan data, merosakkan laman web, mencuri e-mail, menyalahgunakan kad kredit untuk penipuan dan lain-lain lagi.
iv - Akta Teleperubatan 1997
Akta ini menyediakan garis panduan yang membolehkan pengamal perubatan berlesen memberi teleperubatan melalui audio, visual dan komunikasi data. Seorang doktor boleh menggunakan kemudahan multimedia untuk mendapatkan bacaan tekanan darah, denyutan nadi, sehu badan yang diambil oleh pesakit sendiri melalui skrin komputer, merujuk pada rekod sedia ada, membuat diagnosis dan rundingan secara telesidang. Melalui perkhidmatan dengan perlindungan insuran ini, pesakit berpeluang mendapat rawatan seolah-olah hadir sendiri di hospital. Bagi pihak doktor dan pakar perubatan pula ini membolehkan mereka bertukar pendapat dan pandangan perubatan dari pakar lain yang jauh tanpa 'duduk' berbincang. Ini amat menjimatkan masa dan dapat menyelamatkan nyawa dalam situasi yang kritikal.
v - Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta ini yang efektif mulai 1 April 1999 , menyediakan garispanduan yang regulasi bagi menangani pertembungan telekomunikasi, broadcasting dan industri perkomputeran. Akta ini bermatlamat menggalakkan dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia . Di samping itu akta ini juga mewujudkan rangka kerja perlesenan dan pengawalseliaan bagi industri komunikasi dan multimedia.
vi - Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
Adalah satu akta untuk mengadakan peruntukan bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempunyai kuasa untuk menyelia dan mengawal aktiviti-aktiviti komunikasi dan Multimedia di Malaysia dan perkara-perkara yang berkaitan.
KUPASAN AKTA
Penggubalan Akta dan Dasar Teknologi Maklumat Kebangsaanmenunjukkan batapa serius dan komitednya kerajaan Malaysia dalam mengawal perkembangan dan ledakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sejak akhir-akhir ini. Kewujudan MSC memerlukan lagi pengawalan dan pembendungan terhadap gejala-gejala yang kurang sihat terutamanya kawalan terhadap jenayah siber. Walaupun di negara ini belum lahir lagi penggodam atau 'hacker' terkenal seperti Kevin Mitnick atau David Smith, dengan wujudnya undang-undang atau akta-akta ini, maka perkembangan negatif ini akan dapat dibendung dari peringkat awal lagi. Untuk tujuan kupasan, perbincangan akan difokuskan kepada Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta Jenayah Komputer 1997
Jenayah komputer seringkali dirujuk sebagai jenayah siber. Dari segi definisi jenayah komputer merujuk kepada jenayah yang menggunakan komputer sebagai alat dan melibatkan hubungan yang terus antara komputer dengan penjenayah berkenaan. Contohnya, seorang kerani bank tanpa kebenaran telah memindahkan sejumlah wang daripada akaun pelanggan kepada akaun dormant bagi tujuan kepentingan dirinya . Sebaliknya jenayah siber dilakukan melalui internet,oleh itu jenayah ini boleh meliputi negara luar dan dari lingkungan penguatkuasaan Malaysia.Namun begitu, tidaklah salah jika menyatakan bahawa jenayah komputer adalah jenayah siber kerana kesannya adalah sama dari segi undang-undang.
Kategori Jenayah Siber
Secara umumnya jenayah siber dikategorikan kepada a) jenayah siber terhadap harta benda, b) jenayah siber terhadap manusia/ individu dan c) keganasan siber.
a) Jenayah siber terhadap harta benda adalah melibatkan semua bentuk harta benda seperti mencuri maklumat, wang, harta atau perkhidmatan.Ianya merangkimi penipuan, pemalsuan dan penggangu (mischief). Contohnya -contohnya adalah seperti kesalahan menggunakan kenyataan dan salahtafsiran untuk memujuk negara m,emberikan harta, barang-barang berharga secara rela.Antara jenayah jenis ini adalah pemasaran secara 'mutilevel',francais, lelongan dan sebagainya. Perlakuan mengubahsuai dokumen dengan niat menggunakan dokumen dokumen itu untuk menipu.Jenayah siber jenis ini dilakukan apabila seseorang yang menggunakan komputer. Sementara itu kategori seperti penggangu dilakukan secara amnya oleh virus komputer. Virus ini boleh dihasilkan dan disebarkan memalui 'download' dan membuka program atau file yang berpaut pada e-mail. Seterusnya adalah vandalisme siber, iaitu seorang yang menceroboh masuk sistem komputer bagi tujuan merosakkan atau memusnahkan maklumat yang terdapat.
b) Jenayah siber terhadap manusia walaupun tidak melibatkan kesan fizikal, tetapi cukup untuk memberi kesan buruk kepada mangsanya. Contoh-contohnya adalah seperti pornografi, gangguan siber di mana mangsa diganggu melalui internet dan dilakukan ke atas mangsa melalui laman web, e-mail atau program 'chat'. Selain itu juga melalui pengintipan yang dilakukan untuk mengancam mangsa melalui mesej e-mail sepertimana Bill Gates menerima ugutan bunuh.
c)Keganasan siber adalah dirancang dan dimotivasikan secara politik terhadap maklumat,sistem komputer,program komputer dan data oleh golongan kecil dan agen-agen sulit sahaja.Contohnya adalah seperti jenayah yang melibatkan kawalan trafik udara terjejas mengakibatkan perlanggaran kapalterbang.
Oleh yang sedemikian melalui Akta Jenayah Komputer, senario atau kejadian seperti yang dibincangkan di atas boleh dikawalselia dan dielakkan. Maka jika jenayah seperti di atas dilakukan maka berdasarkan akta dan undang-undang berkenaan hukuman setimpal atau prosiding undang-undang boleh dikenakan.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta ini direkabentuk dan digubal bagi mengawal dan mengatur pertembungan industri komunikasi dan multimedia dan lain-lain hal yang berkaitan. Ia bertujuan menyediakan garis panduan undang-undang yang melindungi hak-hak pengguna, kepentingan perniagaan, integriti dan kemantapan pemakaian flagship. Ketelusan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan akta ini boleh dipertikaikan kerana pertamanya, ia tidak memberi definisi yang jelas akan apa yang dimaksudkan dengan 'industri' komunikasi dan multimedia itu sendiri.
Oleh kerana tiada ketelitian dalam definisi, maka mana-mana individu boleh terlepas dengan mudah sekalipun beliau mengedarkan atau memindahkan data atau maklumat separa elektronik mahupun tidak elektronik atas alasan ia tidak berbentuk digital. Oleh itu sebaik-baiknya, sebarang tambahan pada hubungan atau rangkaian maklumat atau perkhidmatan rundingan harus diperbadankan bagi melicinkan penguatkuasaan akta. Badan-badan ini boleh disenaraikan di bawah kategori industri multimedia dan komunikasi dan selanjutnya diperincikan lagi di bawah kategori elektronik atau bukan elektronik. Dengan adanya pengkategorian dan pendefinisian yang lebih terpeinci, maka urusan atau kes yang dicatatkan dapat diselesaikan dengan lebih sistematik dan efisien. Dengan itu ia akan dapat memantau sebarang aktiviti samaada bersifat elektronik atau sebaliknya dan ini secara tidak langsung akan memupuk kesedaran masyarakat pengguna agar semakin jelas mengenai akta dan undang-undang itu sendiri.
IMPLIKASI AKTA, FALSAFAH DAN POLISI BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT KEPADA SISTEM PENDIDIKAN
Undang-undang yang digubal oleh kerajaan sebenarnya memberi penjelasan dan garispanduan yang amat bermakna kepada seluruh pengguna sistem rangkaian internet dan pengusaha industri perkomputeran seluruh negara. Pada dasarnya, semua akta yang telah dibincangkan bertujuan memberi landasan kepada aktiviti, pengaturcaraan dan perkhidmatan rangkaian komputer tersebut dan bermakna ,asas pengetahuan berkaitan teknologi maklumat tersebut turut terlibat. Teknologi maklumat telah dan sedang menular ke dalam segenap transaksi manusia. Sesiapa sahaja walau dalam apa bidang sekalipun tidak lagi dapat menjalankan tugas dengan cekap tanpa menggunakan komputer.
Menyentuh asas pendidikan komputer bermakna membabitkan golongan pengguna paling ramai iaitu pelajar dan para pendidik. Pengenalan mata pelajaran Teknologi Maklumat di peringkat sekolah menengah, perlaksanaan Sekolah Bestari dan pembinaan Universiti Multimedia contohnya merupakan pengisian sistem pendidikan dalam menyediakan generasi masa depan yang celik ICT. Alam pendidikan yang menawarkan segala macam pengetahuan untuk diterokai oleh pelanggannya iaitu golongan pelajar sebenarnya tidak harus terlepas dari diberi pendedahan tentang sistem perundangan berkaitan teknologi maklumat.
Jika pengetahuan tentang kegunaan ICT tidak diselaraskan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), maka kemungkinan insan kamil yang diaspirasikan oleh FPK ini tidak akan tercapai. Generasi celik ICT haruslah dilatih sejak dari awal untuk menjadi pengguna ICT yang bertanggungjawab serta turut menyumbang terhadap ledakan teknologi tersebut. Etika melayari internet, penggunaan dan pencapaian maklumat secara berdisiplin harus ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan ICT. Pelajar harus disedarkan dengan kewujudan undang-undang siber ini, malah perlu dijadikan sebahagian daripada kurikulum ICT.
Dari segi penghasilan bahan multimedia untuk tujuan pangajaran dan pembelajaran, didapati jika penguatkuasaan undang-undang siber dijalankan sepenuhnya ini akan memangkinkan lagi penghasilan software berkenaan. Menghasilkan satu CD-ROM untuk pengajaran dan pembelajaran adalah memerlukan masa dan kebijaksanaan, tetapi malangnya akibat kegiatan cetak rompak, ianya seolah-olah mematikan motivasi mereka untuk menghasilkan perisian-perisian baru. Oleh itu dirasakan tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil demi memastikan negara mendapat sistem pendidikan yang bermutu. Sistem Pendidikan Jarak Jauh dan Bilik Darjah Maya banyak bergantung kepada ICT. Perkembangan ICT memungkinkan e-learning di mana seorang boleh mempelajari sesuatu tanpa menghadiri kelas formal. Undang-undang siber ini dengan sendirinya memberikan pertumbuhan kepada pendidikan maya. Institusi yang menawarkan pendidikan secara ini boleh dilindungi oleh undang-undang siber.
Malaysia yang sedang menuju ke arah sistem k-ekonomi memang amat bergantung kepada perkembangan ilmu pengetahuan ICT yang sihat dan mapan. Pembangunan dan pembentukan negara berasaskan k-ekonomi memperlihatkan kepentingan menjana semaksima mungkin dan pengeksploitasian kemahiran ICT. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab dasar pendidikan negara untuk melahirkan sebanyak mungkin tenaga mahir ICT disamping mengekang penularan aktiviti pengendalian komputer yang menyeleweng. Gabungan yang mantap di antara tanggungjawab pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang siber mampu memacu negara ke arah kegemilangan ekonomi dan kepesatan urusan globalisasi.
PENUTUP
Sebagai negara yang menghampiri pasca kemajuan,penggubalan akta berkaitan teknologi maklumat ini dikira tepat pada masanya. Ia diharapkan dapat mengekang sebarang aktiviti kurang sihat membabitkan individu atau pihak tertentu yang menjejaskan urusan pertukaran dan penyaluran maklumat dan sekaligus melindungi pengguna lain. Kesedaran akan tanggungjawab memelihara dan menjaga disiplin semasa berurusan dengan ICT amat penting bagi memastikan budaya yang sihat dan iklim yang kondusif untuk pertumbuhan ICT secara lebih tekal
Adalah sukar untuk membuat telahan yang tepat tentang masa depan. Dunia tanpa sempadan, globalisasi dan perkembangan ilmu-ilmu baru merupakan agenda alaf baru. Dengan pengenalan undang-undang siber dan penguatkuasaan yang serius dan konsisten sedikit sebanyak dapat mendidik pengguna dan pengendali komputer agar lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri. Budaya perihatin dan toleransi sesama pengguna dapat diterapkan dan sebuah masyarakat yang celik ICT dapat dibentuk. Ini seterusnya memudahkan lagi penjanaan lebih banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kepentingan manusia sejagat. Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting di sini bukanlah penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya sikap, kesedaran dan keinginan untuk melaksanakan perubahan dan sanggup memerima tanggungjawab semasa menjadi pengguna komputer itu yang lebih penting.
RUJUKAN
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)& Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589). 1999. Kuala Lumpur: Internasional Law Services.
Undang-Undang Siber Malaysia. 2001. Kuala Lumpur: International Law Books Service
Chan, Y.F. Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan di Malaysia. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Institut Aminudin Baki. 8 (1): 73-82
Chris Kwan. 1999. Malaysia's Cyberlaw. (atas talian)
http://library. wustl.edu/~listmgr/devel-1/Feb 1999/0005.htm (1 Ogos 2002)
Institut Tadbiran Awam Negara. 1992. Dasar-dasar Pembangunan Malaysia.
Kuala Lumpur: INTAN
Kathryn,L.K. 1998. Commercial opportunities in telemedicine. ( atas talian)
http://www.tradeport.org/ts/countries/malaysia/isa/isar0009.html (1 Ogos 2002)
Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. 2000. Undang-undang siber. (atas talian)
http://www.gov.my/comm/cyberlaws.html (1 Ogos 2001)
Mohamad Shanudin Zakaria & Azizi Abdullah. 2000. Tandatangan Digital dan penggunaan
di Malaysia, Kertas Kerja Seminar Undang-undang Siber di Malaysia. Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, 30 Oktober.
MSC Website. 2000. What is MSC? (atas talian)
http://www.mdc.com.my/msc/frame/policy.html (2 Ogos).
Nazura Abdul Manap. 2000. Cyber-crime: Current problems. Kertas kerja Seminar Undang-
undang di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 30 Oktober.
Ramlan Goddos. 1996. Internet dan sekolah : Isu dan permasalahan. (atas talian)
http://www.ids.org.my/homepage/publications/Research paper/Articles/review39. htm
(2 Ogos 2002).
Rancangan Malaysia Ketujuh. Bab 14 (atas talian)
http://www.smpke.jpm.my/NewsMPKE/mainSMPKE.htm (2 Ogos 2002)
Sarah Aziz Abdul Ghani Aziz. 2002. The Communications and Multimedia Act 1998; of
challenges and possible remedies. Kertas kerja Seminar Technology in Development.
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 25 Januari.